Rabu, 7 April 2010

MASALAH MEMBACA



MASALAH MEMBACA 

 Masalah bacaan di kalangan pelajar sekolah sekarang mendapat perhatian umum. Kerisauan tentang masalah ini bukan hanya pada ibu bapa dan guru-guru sahaja malah sudah hingga ke peringkat pemimpin tertinggi negara . Berbagai-bagai usaha telah dilaksanakan di peringkat sekolah, daerah, negeri, dan peringkat nasional. Satu usaha terbesar yang dilaksanakan adalah KBSR yang bermatlamatkan kecemerlangan pendidikan sekolah rendah, dan diikuti dengan KBSM di sekolah menengah.

Namun selepas fasa pertama KBSM,didapati ramai pelajar kita yang masih gagal menguasai 3M. Hakikat ini diakui dalam seminar Kebangsaan KBSR pada 1989 yang merumuskan;



Pelaksanaan Program Pemulihan dan Pengayaan dalam kelas
KBSR tidak mencapai tahap yang dijangkakan - menyebabkan
terdapat sebilangan kanak-kanak tidak dapat menguasai kemahiran
asas 3M hingga ke peringkat tahap II persekolahan rendah dan
di peringkat persekolahan menengah.


Keadaan ini amat menakutkan apabila semakin ramai pelajar kita yang gagal membaca walaupun sudah memasuki sekolah menengah. Sebagai usaha untuk memulihkan masalah bacaan murid di sekolah randah, Kementerian Pelajaran telah memperkenalkan pprogran Kelas Intervensi Membaca dan Menulis atau KIA2M.


JENIS MASALAH BACAAN
Masalah bacaan yang dihadapi oleh kanak-kanak dapat dilihat melalui aktiviti bacaan nyaring, manakala aktiviti bacaan senyap hanya dapat dilihat melalui aspek bacaan kefahaman.


Antara masalah bacaan yang dihadapi oleh kanak-kanak adalah seperti berikut:

a) Membuang/meninggalkan (omission)

Bunyi huruf, perkataan, dan imbuhan ditinggalkan ketika membaca, misalnya ”buah” disebut ’uah”, ”kering” disebut ”kerin”. Perkataan dalam ayat juga kerap ditinggalkan semasa membaca, seperti;

”Buku itu sangat tebal. ” dibaca sebagai ”Buku itu tebal”.

Manakala meninggalkan imbuhan adalah seperti ”mengandungi” disebut ”mengandung” dan sebagainya.


b) Ulangan (repetition)

Mengulang-ulang perkataan atau suku kata semasa membaca dan perbuatan mengulang ini bukan disebabkan oleh masalah gagap.




c) Gantian (substitute)

Menggantikan huruf atau perkataan dalam ayat yang dibaca, misalnya ”ladang” disebut ”lalang”. Manakala terdapat perkataan yang digantikan dengan perkataan lain sehingga boleh mengubah maksud ayat.



d) Tambahan (insertion)

Bunyi huruf atau perkataan ditambah semasa membaca, misalnya “buah” disebut “buwah”. Manakala penambahan perkataan berlaku seperti berikut;

”Saya suka makan rojak.” dibaca sebagai ” Saya sangat suka makan rojak.”



e) Pembalikan (reversals)

Huruf, perkataan, atau frasa dibaca secara terbalik atau songsang. Contoh ;

”Bala” disebut ”laba”, manakala pembalikan perkataan dalam ayat berlaku apabila perkataan diubah kedudukannya, contoh: ”Dia makan nasi” dibaca sebagai ” Dia nasi makan”, dan begitu juga dengan pembalikan frasa.



f) Tidak kenal huruf

Masalah tidak kenal huruf merupakan punca utama kebanyakan kanak- kanak gagal membaca dengan baik. Keadaan ini menyebabkan kanak- kanak akan menyebut sesuatu huruf sesuka hati atau dengan meneka sahaja dan menjadikan perkataan itu tidak bermakna atau berlainan makna.



g) Salah sebutan

Salah sebutan terjadi akibat kanak-kanak tidak mengenal huruf atau tidak tahu membunyikan sesuatu huruf sehingga sesuatu perkataan tidak bermakna lagi dalam konteks ayat berkenaan.


PUNCA MASALAH MEMBACA
Punca masalah membaca adalah rumit dan sukar hendak ditentukan secara khusus. Namun Guy L.B. dan rakan-rakannya (1994) telah membahagikan punca masalah membaca kepada tiga faktor besar , iaitu :

i. Faktor fizikal
ii. Faktor kognitif dan bahasa
iii. Faktor emosi, persekitaran, dan pendidikan

Faktor Fizikal
Faktor fizikal yang mempengaruhi masalah bacaan adalah seperti masalah penglihatan, masalah pendengaran, masalah pertuturan, masalah neurologikal seperti kerosakan otak (serebral palsi, aphasia, terencat akal, dll), dan bermasalah kesihatan (epilepsi, masalah jantung, kurang zat makanan yang serius, dll).



Faktor Kognitif dan Bahasa
Kanak-kanak yang tahap kecerdasannya rendah dan yang terencat akal akan menghadapi masalah dalam bacaan yang serius. Selari dengan masalah ini ialah tahap kognitif yang rendah sehingga menyebabkan proses memperolehi kemahiran membaca menjadi sangat sukar. Manakala faktor bahasa melibatkan bahasa penerimaan (receptive language) yang melibatkan keupayaan semantik dan sintaksis.



Faktor Emosi, Persekitaran, dan Pendidikan

Masalah membaca kebiasaannya wujud seiring dengan faktor-faktor emosi yang memberi kesan yang besar terhadap penyesuaian individu dan sosial kanak-kanak. Masalah penyesuaian mungkin berpunca daripada faktor-faktor fizikal atau perawakan dan persekitaran yang boleh menyebabkan kegagalan membaca. Kegagalan membaca menjadikan kanak-kanak kecewa dan menjejas emosi mereka. Faktor persekitaran bagi kanak-kanak yang kurang beruntung seperti tidak mendapat kasih sayang keluarga, kurang zat makanan, tiada galakan keluarga, dan sebagainya akan menjejas pencapaian mereka dalam pelajaran termasuk keupayaan membaca. Faktor pendidikan adalah seperti tidak menyediakan peluang pengajaran secara individu, tidak memberi perhatian terhadap kesediaan membaca kanak-kanak, mengabaikan kemahiran membaca dalam kebanyakan aktiviti sekolah, penggunaan teknik pengajaran yang kurang berkesan, dan sebagainya.


STRATEGI PENGAJARAN KEMAHIRAN MEMBACA

Kaedah Mengajar Bacaan

iv. Kaedah abjad/huruf
v. Kaedah pandang sebut/seluruh perkataan
vi. Kaedah fonik/bunyi
vii. Kaedah Gabungan Bunyi-kata
viii. Kaedah VAK
ix. Kaedah pelbagai deria - VAKT
x. Kaedah Fernald
xi. Kaedah Gillingham


Kaedah Abjad/huruf

Kaedah ini merupakan kaedah yang paling biasa digunakan dalam mengajar mengeja dan membaca perkataan. Kaedah ini mementingkan kanak-kanak mengenal nama-nama huruf dari a – z. Selepas itu kanak-kanak diajar mengenali huruf-huruf vokal a, e, i, o, u, huruf-huruf konsonan, dan diftong ai, au,oi. Bunyi-bunyi huruf juga diperkenalkan pada peringkat ini. Selepas itu huruf-huruf ini digabungkan bagi membentuk suku kata dan seterusnya perkataan.

Contoh: Memperkenalkan huruf - a - z
Memperkenalkan huruf vokal a, e, i, o, u
Menggabungkan huruf konsonan dan vokal - ba, be, bi, bo, bu
Membentuk perkataan daripada suku kata - ba + tu batu
Seterusnya membentuk rangkai kata dan ayat mudah.

Kekuatan kaedah ini adalah kerana sesuai dengan binaan perkataan bahasa Melayu yang terdiri daripada suku kata yang tetap bunyinya. Kaedah ini juga membolehkan kanak-kanak mengeja perkataan-perkataan baru yang belum dipelajarinya. Selain itu, kaedah ini memberi asas yang kukuh dalam membaca.



Kaedah Pandang dan sebut/Kaedah Seluruh Perkataan

Kaedah ini sangat popular dalam mengajar bacaan dalam bahasa Inggeris, namun guru boleh mencuba kaedah ini untuk mengajar membaca dalam Bahasa Melayu. Melalui kaedah ini, pengajaran membaca adalah berdasarkan perkataan-perkataan yang biasa (sight words) diguna seharian yang membentuk kebanyakan pertuturan kita seperti saya, makan, lari, main, emak, bapa dan sebagainya.

Guru akan memperkenalkan beberapa perkataan dahulu dan diulang-ulang menyebutnya. Kebiasaannya perkataan tersebut disertakan gambar dan adalah diandaikan yang murid belajar secara pandang (visual). Kaedah ini tidak menggunakan aktiviti mengeja sama sekali.

Sekiranya murid tidak dapat menyebut perkataan tertentu, guru digalak menggunakan fonik atau bunyi huruf, iaitu menghubungkan satu huruf dengan satu bunyi untuk membantu pelajar menyebut perkataan tersebut. Misalnya bagi perkataan ”rumah”, guru boleh membantu murid dengan menyebut bunyi huruf ”r” iaitu [ r ] dan kalau perlu membunyikan suku kata [ ru ]



Kaedah Fonik/bunyi

Kaedah fonik adalah antara kaedah mengajar bacaan yang digemari oleh guru. Kaedah ini menekankan kepada hubungan bunyi-bunyi dengan huruf-hurufnya. Kaedah bunyi sesuai digunakan kerana susuk Bahasa Melayu yang terdiri daripada suku kata yang tetap bunyinya.

Menurut kaedah fonik, hanya bunyi huruf yang diperkenalkan terlebih dahulu dan diikuti dengan membunyikan suku kata dan seterusnya membunyikan perkataan. Dalam bidang fonetik, huruf tidak dieja tetapi terus dibunyikan sebagai [ a ], dan begitulah bagi huruf-huruf dan suku kata yang lain. Sebagai contoh, ba + ta terus disebut sebagai [ ba ] + [ ta ] dan seterusnya disebut sebagai [ bata ].

[ b ] + [ a ] = [ ba ]
[ t ] + [ a ] = [ ta ]
[ ba ] + [ta ] = [ bata ]



Kaedah gabungan bunyi – kata
( Dari nama huruf dan bunyi kepada perkataan )

Kaedah ini diperkenalkan oleh Profesor Isahak Haron, dan dalam kaedah ini murid diajar langkah demi langkah, dimulai dengan bunyi huruf digabungkan dengan nama huruf (abjad) dan bentuk huruf. Selepas itu membina suku kata dan seterusnya perkataan. Latih tubi mengeja adalah perlu berdasarkan pendekatan pelbagai deria (multisensory).

Contoh;

i. Guru tunjukkan huruf pada kad imbasan dengan gambar di sebelah belakang. Murid menyebut nama huruf tersebut.

ii. Guru menyebut perkataan dan bunyi huruf.
a
iii. Murid mengulangi menyebut perkataan dan bunyi huruf.

iv. Guru menyebut bunyi huruf dan kemudian menyebut nama huruf.

v. Murid mengulang bunyi dan menyebut nama huruf, menulis huruf sambil menyebutnya (terjemahkan bunyi yang didengar kepada tulisan) dan seterusnya murid menulis huruf-huruf.

vi. Murid membaca apa yg telah ditulisnya, iaitu membunyikan huruf
(terjemahkan huruf yang ditulis kepada bunyi yang boleh didengar).

vii. Murid menulis huruf dengan mata tertutup untuk dapat merasakan huruf itu

Setelah murid sudah biasa dengan nama, bunyi, dan bentuk huruf, guru boleh teruskan dengan latih/tubi berikut;

i. Murid melihat semula kad imbasan dan membunyikan huruf dengan kuat (proses bacaan).

ii. Guru membunyikan huruf-huruf tertentu secara rawak. Murid menyebut nama huruf dan kemudiannya menulis (proses mengeja).

Hubungan antara nama , bunyi, dan bentuk huruf hendaklah diajar terlebih dahulu dengan pengetahuan bahawa sesetengah huruf adalah vokal dan sangat diperlukan dalam setiap perkataan. Kemudian diajar huruf dan bunyi vokal pula.



 KESIMPULAN

Keupayaan membaca di kalangan kanak-kanak adalah berbeza-beza dan guru hendaklah memberi perhatian terhadap hakikat ini. Oleh itu guru hendaklah memperkemaskan diri dalam kemahiran menyampaikan pengajaran bacaan. Pengetahuan tentang kaedah-kaedah mengajar bacaan semata-mata tidak mencukupi, sebaliknya guru perlu mempunyai kreativiti dalam penyampaian pengajarannya. Kaedah membaca yang digunakan akan lebih berkesan dengan penggunaan bahan bantu mengajar yang sesuai dan menarik. Bagi kanak-kanak yang mengalami masalah bacaan yang teruk dan juga untuk kanak-kanak berke[perluan khas, kaedah pengajaran pelbagai deria sangat sesuai digunakan. Sekiranya guru memilih untuk menggunakan sesuatu kaedah, maka guru hendaklah tetap dengan langkah-langkah yang disaran dalam kaedah itu. Sekiranya guru tidak mengikut langkah-langkah yang telah ditetapkan atau mengikut sebahagian darikpada langkah sahaja, maka guru tidak boleh mengatakan yang dia menggunakan kaedah tersebut.


1 ulasan:

Catat Ulasan